PENGENALAN - RAK


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Salawat dan salam untuk Rasulullah SAW, ahli keluarga serta para sahabatnya.


PENGENALAN – RAK

RUMAH ANAK KESAYANGAN  (RAK) ialah sebuah wadah yang bermatlamatkan kebajikan dan pendidikan  yang baru dibuka pada Januari 2008 bersamaan dengan bulan Muharram 1429H yang kini menempatkan  lebih daripada 70  orang anak-anak yatim, mualaf, fakir miskin, remaja inssaf  dan golongan asnaf zakat.

ALAMAT

Pejabat Urusan dan Asrama Anak Kesayangan :
No 18, Lorong Selunsung E, Taman Sempelang, Sembulan, 88100 Kota Kinabalu, Sabah. Tel / Faks: 088-248313

MENGAPA NAMA RUMAH ANAK KESAYANGAN?

Rumah : Lambang untuk tempat perlindungan dan gelanggang berkasih sayang.

Anak Kesayangan: Anak-anak yatim dan fakir miskin serta anak-anak yang layak menerima zakat dan bantuan adalah anak-anak kesayangan Allah dan Rasul. Maka sesiapa yang mengasihi dan membela mereka mendapat ganjaran besar disisi Allah dan Rasul. Mereka harus dianggap sebagai anak angkat yang diberikan kasih sayang dan pembelaan.

SEJARAH

Sejarah telah membuktikan di mana Rasulullah saw sendiri dikenali sebagai anak yatim dan dari golongan miskin. Malahan kebanyakan wakil-wakil Tuhan seperti Rasul-rasul, dari kecil lagi dipisahkan dari ibu dan ayahnya kerana orang yang dibesarkan oleh ibu dan ayah selalunya bersandar dengan ibubapanya. Maka terlindunglah pula dia dari bersandar kepada Tuhan.
Sebab itulah wakil-wakil Tuhan, Tuhan pisah-pisahkan supaya kuat sandarannya kepada Tuhan. Kalaupun emak ayahnya tidak mati sepertimana Nabi Yusuf tetapi dia tetap terpisah dari ibu dan ayahnya selama 40 tahun. Sebab itu, kalau bukan Rasul pun sepertimana Imam Syafie, telah terpisah dari emak ayahnya semenjak kecil lagi. Begitu juga Imam Ghazali pun terpisah dengan emak dan ayahnya. Oleh itu, terpisah dengan mak dan ayah bukanlah satu penghinaan, tetapi Tuhan hendak memuliakan mereka.

PERKHIDMATAN RAK

~        Menyalurkan segala sumbangan yang diterima bukan setakat untuk anak-anak yatim dan fakir miskin yang tinggal di rumah Anak Kesayangan tetapi turut diberikan kepada anak-anak yatim dan asnaf zakat yang tinggal bersama keluarga mereka.

~        Melatih anak-anak kesayangan untuk menjadi penghibur yang diredhai Tuhan melalui aktiviti-aktiviti lawatan ke asrama-asrama anak yatim yang lain, membuat persembahan seperti persembahan nasyid, konsert amal, teater muzikal, program motivasi dan lain-lain lagi untuk anak-anak yang senasib dengan mereka khususnya dan seluruh masyarakat amnya.

~        Menubuhkan Kelab Remaja Putera/Puteri Harapan bagi anak-anak yatim dan fakir miskin peringkat menengah dan Kelab Anak-anak Kesayangan bagi anak-anak di peringkat kanak-kanak supaya mereka berpeluang mengenali dan berkasih sayang dengan remaja dan kanak-kanak yang lain melalui pelbagai aktiviti kelab.

~        Menyediakan khidmat kaunseling kepada ibubapa / penjaga / waris / yang berhadapan dengan masalah anak-anak remaja.
~        Menyediakan kelas-kelas pengajian Al-Quran & Tajwid, Hafazan surah, Fardhu ain, Bahasa Arab dan Jawi secara percuma untuk anak-anak dan remaja yang berminat tetapi tidak berkemampuan untuk mengikuti tuisyen berbayar.

ERTI YATIM YANG HAKIKI

Bukanlah yatim piatu itu semata-mata tidak ada ayah dan ibu. Tetapi yatim piatu yang hakiki itu tidak ada iman dan ilmu. Tidak ada ayah dan ibu bukan satu kesalahan, itu sudah takdir dari Tuhan yang Esa. Tidak ada sesiapa yang mahu. Tetapi iman dan ilmu wajib dicari kerana ia adalah perintah Allah yang Esa. Sesiapa yang tidak melakukannya adalah berdosa. Tidak ada ayah dan ibu kalau susah hanya di dunia.
         
Tetapi kebanyakan orang tidak suka jika tidak ada ayah dan ibu. Kerana tidak ada tempat mengadu dan bermanja. Sedangkan kalau tidak ada iman dan ilmu, Tuhan murka, masuk neraka……lagi bahaya. Sayangnya yang bahaya dianggap tidak bahaya.
Tidak ada ayah dan ibu semua orang dukacita. Tetapi tidak ada iman dan ilmu, kurang yang berdukacita.

Itulah akibatnya jika hanya dunia dikenali. Akhirat tidak dikenali bahkan dilupa-lupakan. Padahal akhirat itulah destinasi yang terakhir sekali. Dunia hanya sementara. Oleh itu janganlah takut tidak ada ayah dan ibu. Ianya bukan yatim piatu yang hakiki. Tetapi takutlah jika tidak ada iman dan ilmu. Kerana ia merupakan yatim piatu yang hakiki. Di akhirat nanti, amat malang sekali.

PENDIDIKAN

Pendidikan adalah  satu lagi agenda penting di dalam penubuhan Rumah Anak Kesayangan. Ia sangat diambil perhatian kerana pendidikanlah menjadi titik penentu kepada lahirnya generasi pelapis yang mampu memimpin dan menerajui Negara di masa akan datang.

Sering berlaku, anak yatim dan miskin itu hanya diberi perhatian dari sudut materialnya sahaja seperti diberi wang ringgit, makan minum, pakaian yang secukupnya dan keperluan lain tetapi dari sudut mental dan rohaninya masih sedikit golongan yang benar-benar mahu mengambil berat dengan serius.

Pendidikan bagi mereka bukan boleh dilakukan setakat ala kadar.Menangani anak-anak yatim secara tidak tepat dan mengabaikan pendidikannya bukan saja boleh membuat mereka terbiasa mengharap subsidi dan tidak berdikari, bahkan boleh  menjadikan mereka insan-insan yang tidak redha sehinggakan kelak boleh mendatangkan pelbagai masalah dalam masyarakat. Atas dasar inilah Rumah Anak Kesayangan  (RAK) ditubuhkan.

Dalam realitinya, bukan anak-anak yatim sahaja yang memerlukan perhatian, kasih sayang dan pendidikan tetapi juga anak-anak lain yang hakikatnya macam anak yatim, bahkan terkadang mereka lebih susah dari anak yatim kerana anak-anak yatim lebih diperhatikan orang.

Memandangkan perkara ini, maka Rumah Anak Kesayangan ini sedang berusaha menampung dan mendidik anak-anak yang  berbagai latar belakang  di antaranya anak-anak yatim, anak-anak mualaf, anak-anak dari golongan fakir miskin, anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang ibu bapanya, atau tidak mendapat perhatian dari kedua ibubapanya.

Team pendidikan rumah anak kesayangan (RAK) memberikan tumpuan utama untuk menerapkan sistem pendidikan Rasulullah SAW yang dapat membangunkan roh, akal serta mendidik nafsu mereka secara serentak. Diharapkan pendidikan ini dapat menjadikan mereka menjadi insan-insan bertaqwa yang mempunyai ilmu kemahiran pengalaman yang cukup untuk menjadi peniaga / teknorat / ahli professional yang berwibawa yang menjadikan Tuhan matlamat hidupnya.

Bagi anak-anak di peringkat sekolah rendah, mereka mendapat pendidikan rasmi di sekolah-sekolah kebangsaan manakala selepas balik dari sekolah mereka dididik dan diasuh di rumah anak kesayangan (RAK) dengan penuh kasih sayang serta perhatian dari semua sudut  termasuk kerja sekolah, tuisyen, pendidikan farduh ain, ibadah dan kemahiran menguruskan diri bermula dari kecil lagi.

                            HARAPAN RAK

Pihak RAK amat berbesar hati dan berharap pelbagai golongan samada individu, pertubuhan atau syarikat turut serta berganding bahu dan berkongsi saham akhirat ini dengan menghulurkan bantuan dan apa jua sumbangan secara langsung ataupun tidak bagi melahirkan masyarakat prihatin, saling berkasih sayang dan saling membela antara satu sama lain.

Semoga Rumah Anak Kesayangan ini bukan sekadar menjadi sumber bantuan dan kebajikan mereka  yang memerlukan bahkan yang utama adalah sebagai wadah kasih sayang dan bimbingan ilmu yang menjadi keperluan asasi setiap insan dan dapat membimbing mereka untuk cinta dan takutkan Tuhan.

Segala perhatian dan bantuan yang diberikan dalam apa jua bentuk kami syukuri dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih. Dan semoga ianya diterima Tuhan sebagai amal jariah tuan / puan yang berpanjangan dan sebagai penolong kita di akhirat kelak. InsyaALLAH.

8 comments:

  1. Assalamualaikum,saya nak memberi sedikit bantuan, tapi tak de nombor yang hendak dihubungi, 0168183132 kota kinabalu, john

    ReplyDelete
    Replies
    1. No 18, Lorong Selunsung E, Taman Sempelang, Sembulan, 88100 Kota Kinabalu, Sabah. Tel / Faks: 088-248313

      Delete
    2. Blh hubungi pn Aini Amin no 012 839 9211

      Delete
  2. No tidak wujud. Ada no hp pentadbir?

    ReplyDelete
  3. No yg tertera tidak dpt dihubungi..

    ReplyDelete
  4. Terima kasih pd semua yg dtg memberi sokongan dn sumbangan bersama ALC d CP hari ni. Sila berkunjung ke RUMAH ANAK KESAYANGAN D RUMAH NO 22 JLN MAT SALEH TMN SEMPELANG SEMBULAN DN RUMAH NO 1, LORONG 2 TMN SEMPELANG TH ARU ( MAWIS). TQ

    ReplyDelete
  5. Kpd yg ada kelebihan dn berniat utk berkorban sempena hari raya haji ni blh dtg terus atau berhubung dgn saya d no 012 8399211. Satu bahagian korban rm 650 shj. Tq

    ReplyDelete
  6. Sebarang sumbangan blh d hantar terus ke rumah no 1. Lorong sempelang 2. Tmn. Sempelang . Tg. Aru. Hubungi pn. Aini 012 839 9211

    ReplyDelete